suria

Kerajaan Tidak Akan Tarik Kebebasan Bersuara Di Media Sosial

Datuk Seri Najib Tun Razak
JERLUN: Kerajaan tidak akan menarik kebebasan bersuara di media sosial tetapi mahu kebebasan itu dilakukan dengan prinsip kebertanggungjawaban, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan mengamalkan sikap keterbukaan tetapi menjadi tanggungjawab rakyat terutama generasi muda atau Gen Y supaya mengetahui bahawa setiap kebebasan itu ada batasnya.

"Saya nak beri amaran, sesiapa cuba menggugat keamanan, undang-undang sedia ada akan digunakan. Perkara ini memang dikuatkuasakan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini Jumaat.

Katanya Akta Hasutan akan dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Keharmonian tetapi perkara berkaitan agama dan bangsa tidak akan diabaikan.

Najib berkata kerajaan tidak akan membenarkan kebebasan yang tidak diikuti prinsip kebertanggungjawaban terutama dalam soal agama Islam, agama lain serta hak keistimewaan Melayu serta raja-raja Melayu.

"Kita mesti pertahankan...bukan kata ada (undang-undang) yang baharu ini, semua kita ketepikan...tetapi kita akan masukkan peruntukan-peruntukan yang lebih sesuai," katanya.

Perdana Menteri berkata walaupun diberikan kebebasan dan keterbukaan, beliau berharap tidak berlaku kes-kes ekstrem kerana dalam melakukan apa sahaja tindakan perlu ada pertimbangan yang matang.

"Mesti ada batasan...prinsip 'accountability' (kebertanggungjawaban) inilah yang kita mesti cari satu formula di mana kita beri ruang untuk bersuara termasuk menegur pemimpin tetapi di samping itu ada batas-batas, jangan sampai merosakkan keamanan dan keharmonian negara kita," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga Ketua Umno Bahagian Jerlun, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Artikel Lain