KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan keadilan tercapai dalam kes kematian setiausaha politik exco kerajaan Selangor Teoh Beng Hock. Kenyataan SPRM menyebut suruhanjaya itu mengambil maklum dan menerima keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes itu Jumaat. "SPRM pada masa yang sama menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan Peguam Negara untuk membuat keputusan muktamad sama ada untuk mendakwa atau tidak mana-mana pihak yang terlibat." Menurut kenyataan itu, SPRM juga berharap tindakan dapat diambil agar satu penyelesaian muktamad dapat dibuat secepat mungkin. Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes itu dan memutuskan bahawa kematian Teoh adalah akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali. Beng Hock, 30, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat SPRM, pada pagi 16 Julai 2009.