SADONG JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata beberapa tangkapan di bawah Akta Hasutan sejak kebelakangan ini adalah berikutan kewujudan ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan keharmonian negara. Beliau berkata provokasi yang dilakukan, termasuk menerusi laman sosial, jelas tidak menghormati agama dan budaya masyarakat negara ini serta institusi diraja, justeru, tindakan tegas terpaksa diambil. "Mereka melakukan provokasi sedangkan mereka tahu itu satu kesalahan, apa yang mereka lakukan seolah-olah mencabar kerajaan dan ingin pula melihat apakah tindakan yang akan diambil terhadap mereka . "Sebagai kerajaan yang stabil, kita terpaksa bertindak demi kesejahteraan semua bangsa dan agama di negara ini," katanya. Anggota Parlimen Batang Sadong itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian blok baharu SJK Chung Hua Jemukan di sini Jumaat. Mengulas lanjut, Nancy berkata kerajaan tidak pernah menghalang hak kebebasan bersuara namun jika perlakuan itu menimbulkan sakit hati serta kemarahan orang lain, tindakan terpaksa diambil. "Kita boleh suarakan kritikan tetapi apabila melampaui batas sehingga mencabar kerajaan, kita terpaksa ambil tindakan. "Saya harap mereka lebih bertanggungjawab dalam apa yang mereka lakukan, fikirkan kalau provokasi yang dilakukan terhadap satu-satu bangsa atau agama sehingga mengakibatkan berlaku tindak balas, apa yang akan berlaku di negara kita ini?" katanya. Ketika diminta mengulas gerakan membawa Sarawak dan Sabah keluar dari Malaysia, beliau bersetuju tindakan awal diambil bagi mengekang lebih ramai yang terpengaruh dengan agenda itu.