suria

Kerajaan Tidak Kompromi Dalam Isu Libat 'Tiang Seri' Negara - Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein.

KLUANG: Kerajaan tidak akan berkompromi tentang perkara-perkara yang disifatkannya sebagai "tiang seri" negara seperti agama, kaum dan institusi raja walaupun dalam menggubal undang-undang baru atau meminda Akta Hasutan. 

Menegaskan demikian, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jika kerajaan menggubal undang-undang baru ia sebaliknya akan memperkukuh lagi perkara-perkara terbabit yang merupakan asas kepada pembangunan negara.

"Kita tidak akan berkompromi dengan perkara ini yang dianggap sebagai 'tiang seri' di dalam nation building (pembinaan bangsa)," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Semberong yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pada Sabtu.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian Semberong berkata, "tiang seri" negara itu perlu dipertahankan kerana ia merupakan jaminan kepada kestabilan dan survival agama serta negara.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Biro Pindaan Perlembagaan Umno berkata, polemik tentang isu Akta Hasutan ditimbulkan oleh mereka yang tidak tahu-menahu tentang apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan. 

"Ia (tindakan kerajaan) perlu diperjelaskan," kata beliau. 

Namun, beliau menegaskan perbincangan tentang akta itu tidak boleh dilakukan dengan emosional atau dicampuradukkan dengan sentimen perkauman dan keagamaan. 

Menurutnya, negara memiliki undang-undang yang mencukupi untuk menangani sebarang isu, tetapi apa yang membelenggunya adalah kekurangan penguatkuasaan undang-undang terbabit. 

Hishammuddin berkata sebagai pengerusi biro tersebut, beliau akan memastikan pandangan kepimpinan dan anggota Umno tentang isu Akta Hasutan itu diambil kira oleh kerajaan. 

Mengenai gencatan senjata di antara Ukraine dan tentera pemisah pro-Russia pada Jumaat, beliau berkata, ia tidak menjamin pasukan penyiasat akan dibenarkan masuk ke kawasan dimana pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) terhempas di timur Ukraine. 

"Wallahua'lam, kita pun tidak tahu apa yang mereka tandatangani," kata beliau yang akan bertolak ke Kiev, Ukraine malam Sabtu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain