suria

MH17: Musim Sejuk Boleh Sulitkan Siasatan Di Lokasi Nahas

KUANTAN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu siasatan di lokasi nahas pesawat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 di timur Ukraine dilakukan segera kerana dikhuatiri musim sejuk yang bakal melanda kawasan itu tidak lama lagi akan menyulitkan proses tersebut.


Ahmad Zahid berkata, jika tindakan segera tidak diambil musim sejuk dan bersalji yang akan melanda kawasan nahas dalam masa beberapa minggu lagi akan menyulitkan siasatan Pasukan penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan berlepas ke lokasi nahas malam ini.

"Malam ini, 30 pegawai dan anggota PDRM akan ke Ukraine bagi meneruskan usaha siasatan tragedi MH17 untuk mencari cebisan atau tinggalan mayat yang belum ditemui untuk dilakukan ujian DNA sebelum dibawa pulang ke negara asal termasuk Malaysia.

"Siasatan ini perlu dilakukan sebelum musim sejuk yang akan tiba beberapa minggu lagi daripada sekarang kerana apabila kawasan itu diliputi salji, maka siasatan tidak boleh lagi dilakukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Kuantan di sini, Ahad.

Beliau berkata dengan keadaan cuaca tersebut, usaha dan tindakan segera perlu dilakukan oleh PDRM dalam mencari cebisan mayat atau bahan bukti lain.

"Siasatan yang akan dijalankan anggota kita juga adalah bagi membawa bukti ke mahkamah di atas penembakan yang berlaku melalui peluru berpandu kerana cebisan bangkai pesawat MH17 bertaburan, maka ia akan dijadikan bahan bukti sebelum pendakwaan di mahkamah dapat dilakukan oleh pihak penyiasatan antarabangsa dan Malaysia," katanya.

Ahmad Zahid berkata, pasukan pada kali ini turut disertai unit penyelam yang akan melakukan penyelaman di tasik berhampiran kawasan nahas memandangkan pasukan sebelum ini tidak dapat melakukannya akibat pertempuran di antara tentera Ukraine dan puak pemisah proRusia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa ini tentera Ukraine dan puak pemisah proRusia bersetuju mengadakan gencatan senjata selepas rundingan di Belarus dan kesempatan ini boleh digunakan oleh anggota keselamatan negara untuk mempercepatkan siasatan di lokasi nahas.

"Bila tiada pertempuran dan berlakunya genjatan, maka pengawasan keselamatan anggota kita adalah di bawah Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE). Kita dimaklumlkan kedua-dua pihak yang bertelagah itu sudah bawa aset mereka meninggallkan kawasan perang sebagai satu kaedah memenuhi genjatan senjata," katanya.

Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia dipercayai ditembak jatuh dan sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan kejam itu.

Sejumlah 43 rakyat Malaysia berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu dan setakat ini 32 mangsa tragedi warga Malaysia telah dikenal pasti dengan 31 daripadanya dibawa pulang ke tanah air.


MH17, Ukraine, musim sejuk

Artikel Sebelum

Artikel Lain