suria

PAS Kini Hadapi Pergolakan Dalaman - Guan Eng

Lim Guan Eng
GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengakui PAS kini sedang menghadapi pergolakan dalaman selepas kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan keupayaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.


Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.

"Oleh itu, tidak sesuai bagi saya untuk membuat sebarang komen terhadap isu ini kerana saya tidak mahu dilihat sebagai campur tangan dalam hal dalaman PAS," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad apabila diminta mengulas kenyataan Hadi.

Hadi ketika menghadiri sesi dialog di Kuala Terengganu kelmarin menyatakan bahawa keputusan PAS menolak Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bukan kerana jantinanya, tetapi keupayaan beliau untuk menjadi pemimpin yang baik.

Hadi berkata, seorang menteri besar seharusnya memenuhi kriteria tertentu dan berkelayakan untuk memegang jawatan seumpama itu.

Namun Guan Eng berkata, DAP tetap percaya dan yakin kemampuan Wan Azizah untuk menggalas tugas menteri besar.

Katanya, Wan Azizah seorang yang berpengalaman dan telah berjaya mengambil alih tugas PKR ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

"Berilah beliau (Wan Azizah) peluang untuk menunjukkan keupayaannya untuk menjadi Menteri Besar," katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman harus memohon maaf berhubung dakwaan kerajaan negeri memberi peruntukan RM1.5 bilion kepada Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

"Kalau sudah buat salah, minta maaflah," katanya.

Semalam, Zainal Abidin mengakui kesilapan dalam laporan laman web Umno pada 4 September yang mendakwa keseluruhan kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM1.5 bilion untuk menubuhkan PPS.


 

Artikel Lain