KUANTAN: Pelancong Perancis, Jerome Philippe Laurent yang ditemui mati pada Khamis ketika snorkling di Pulau Tioman mampu berenang dengan baik, kata ibunya. Brigitte Laurent, 55, berkata, anakanya itu sering melakukan aktiviti snorkling dan mampu menahan nafa sehingga tiga minit dalam air. "Dia seorang yang aktif termasuk aktiviti sukan," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan pada Sabtu. Mayat penuntut bidang perubatan Villebon-sur-Yvette, Perancis itu ditemui terapung di perairan Pulau Tioman dua hari selepas dilaporkan hilang ketika snorkling. Pelajar berusia 24 tahun itu melakukan aktiviti itu sendirian berhampiran Berjaya Tioman Resort pada pukul 3 petang, Selasa lalu. Bagaimanapun, apabila didapati tidak pulang pada pukul 5.30 petang, rakannya memaklumkan kepada polis. Susulan itu, operasi yang dilancarkan akhirnya menemui mayatnya pada pukul 2.15 petang, Khamis kira-kira 300 meter dari kawasan dia beriadah. Brigitte berkata, Jerome adalah anak kedua daripada tiga beradik dan datang ke Malaysia bersama tiga rakannya. "Kali terakhir saya bertemu dengannya pada 24 Ogos lalu apabila dia meninggalkan Perancis untuk ke sini. Sebelum ke sini, dia ke Taman Negara," katanya. Bedah siasat ke atas mayat Jerome dilakukan pada Jumaat. Kes itu dikelasifikasikan sebagai kematian mengejut, kata Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya.