suria

Cadang Sambut Merdeka Tanpa Sebut Ulang Tahun

KUCHING: Hari Kemerdekaan berkemungkinan disambut tanpa menyatakan bilangan ulang tahunnya mulai tahun depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, di sini pada Isnin.

Katanya, cadangan ini telah dibawa kepada Kabinet baru-baru ini dengan tujuan mengelakkan rakyat di negeri-negeri Sabah dan Sarawak daripada merasa tersisih sekiranya bilangan ulang tahun dinyatakan.

"Misalnya (sambutan Hari Kemerdekaan) tahun yang ke-57, orang Sarawak akan kata (sambutan) itu tidak ada kena mengena dengan kami. Kami merdeka bersama dengan Malaysia pada tahun 1963 (dan sambutan) itu tidak relevan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan selepas kedua-duanya mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini.

"Kita akan mencadangkan supaya sebutan (sambutan) Hari merdeka itu hanya (dengan) kita menyebut Sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos. Itu sahaja," katanya.

Ahmad Shabery berkata beliau telah menyatakan cadangan itu kepada Adenan semasa kunjungan hormat itu dan telah meminta supaya maklum balas daripada rakyat Sarawak dapat diperolehi.

Beliau berkata cadangan itu melihat pada kaedah sambutan hari kemerdekaan Amerika Syarikat yang hanya disebut sebagai "the 4th of July Celebration" meskipun dari segi sejarah, negeri-negeri di bawah naungannya mencapai kemerdekaan pada tarikh-tarikh yang berbeza.

Menurutnya setakat ini beliau telah memperolehi maklum balas positif daripada kerajaan negeri Sarawak serta beberapa pemimpin tempatan dan berharap mendapat reaksi yang sama dari pemimpin dan rakyat di Sabah.

Pada masa yang sama, sambutan Hari Malaysia setiap 16 September mungkin akan diteruskan memandangkan ia mempunyai signifikannya yang tersendiri.

"Saya tidak mahu bila ada sambutan secara besar-besaran Hari Kemerdekaan yang selalu diadakan di Kuala Lumpur, ia selalu bersifat (seolah-olah) untuk meminggirkan tentang sejarah Sabah dan Sarawak kerana kita mengulangi (sebutan ulang tahun) yang ke berapa," katanya. 


Merdeka

Artikel Lain