suria

Krisis MB Selangor: 'Langkah Nik Nazmi Sumbang' - Pemuda PAS

Khairil Nizam Khirudin.

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan pada Isnin menemplak Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK),  Nik Nazmi Nik Ahmad yang mendakwa kepimpinan perti itu yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat tuduhan melulu terhadap calon Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, sebagai pemimpin yang baru mengemudi barisan kepimpinan AMK, langkah yang diambil Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu dilihat 'sumbang'.

"Beliau (Nik Nazmi) harus akur bahawa liabiliti politik yang berlaku pada hari ini di Selangor menimbulkan kegusaran di peringkat akar umbi.

"Saya menjangkakan kita akan mengambil tempoh masa yang lebih lama untuk memulihkan sokongan kepada Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam memberitahu, krisis menteri besar Selangor bermula daripada 'Langkah Kajang' dan bukannya disebabkan oleh PAS sendiri.

"Kita merancang strategi ‘Langkah Kajang’ untuk membolehkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Adun dan kemudiannya menteri besar tetapi telah digagalkan oleh kerajaan Barisan Nasional.

"Jawatan menteri besar sememangnya untuk Anwar pada awalnya, saya tidak akan teragak-agak untuk menjadikan beliau sebagai penasihat sekiranya saya menjadi menteri besar,” ujarnya. 

Nik Nazmi yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, dalam satu kenyataan pada Ahad menggesa Hadi Awang menarik balik kenyataannya yang melabelkan Wan Azizah sebagai pemimpin yang tidak layak dan tidak berupaya mentadbir kerajaan Selangor.

Beliau dipetik sebagai berkata, Hadi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu sedangkan Dr Wan Azizah menerajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 1998 selain dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada 2008 yang turut mendapat sokongan Hadi.

Dia juga mahu Hadi menghormati keputusan yang dibuat pada mesyuarat PAS Pusat dan Majlis Pimpinan Pakatan.

Dalam ceramahnya di Terengganu baru-baru ini Hadi dilaporkan berkata, Wan Azizah tidak memenuhi kriteria untuk mengisi kekosongan jawatan menteri besar Selangor.

Hadi yang turut mempersoalkan kepemimpinan Wan Azizah sambil berkata, beliau tidak ada keupayaan untuk berhujah di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.


Artikel Lain