suria

Krisis MB: Kedegilan PKR, DAP Kemuka Lebih Calon Undang Kemurkaan Sultan

Sultan Sharafuddin

PETALING JAYA: Kedegilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk mengemukakan lebih daripada dua nama bagi calon menteri besar Selangor akhirnya mengundang kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kedua-dua sekutu Pakatan Rakyat itu dianggap mengingkari titah Sultan Selangor apabila hanya mempersembahkan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk dilantik ke jawatan eksekutif itu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, hanya PAS yang bertindak mematuhi titah Sultan Sharafuddin apabila mempersembahkan tiga nama seperti yang dititahkan baginda menerusi surat bertarikh 27 Ogos lalu.

"Manakala parti DAP dan PKR masing-masing mengemukakan hanya satu nama yang sama iaitu Datuk Dr Wan Azizah.

"Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan DAP dan PKR yang ingkar terhadap baginda.

"Tindakan DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah Sultan Selangor," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Selain itu Mohamad Munir berkata, titah Sultan Selangor supaya setiap parti politik dalam Pakatan rakyat mengemukakan lebih daripada dua calon merupakan amalan atau konvensi yang diamalkan baginda.

"Ini adalah bagi membolehkan baginda membuat pilihan terhadap bakal menteri besar Selangor dengan melihat bukan sahaja sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri malah dari segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang Adun tersebut," katanya.

Selain itu Mohamad Munir berkata, walaupun parti dalam Pakatan Rakyat sudah mengemukakan calon masing-masing, Sultan Sharafuddin juga mempunyai kuasa untuk meneliti nama wakil rakyat lain dalam pakatan itu sekiranya mempunyai kelayakan.

"Dengan penerimaan senarai calon yang telah dikemukakan ini maka Sultan Selangor akan meneliti senarai berkenaan dan akan mengambil kira segala aspek dalam menilai setiap calon sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik menteri besar Selangor terletak pada budi bicara tuanku, maka baginda juga akan meneliti nama-nama Adun yang lain dari Pakatan Rakyat yang berkelayakan dan pada fikiran baginda mendapat kepercayaan majoriti Dewan Undangan Negeri," katanya.


Selangor, PAS, DAP, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Lain