suria

Najib Jamin GST Tidak Susahkan Rakyat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April tahun depan tidak akan menyusahkan rakyat.

Beliau berkata, GST merupakan langkah paling besar yang pernah cuba dilakukan oleh kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Tambahnya, GST adalah langkah ke hadapan yang sudah sampai masanya untuk dilaksanakan.

"Untuk kita sampai kepada detik GST hendak dilaksanakan bukan satu keputusan yang dibuat sekelip mata, tetapi perjalanan GST mengambil masa 30 tahun lamanya.

"Yakinlah saya tak akan menyusahkan rakyat Malaysia. Sebagai ketua kerajaan, Pengerusi Barisan Nasional (BN), saya tak akan menyusahkan rakyat.

"Kenapa? Kerana saya tahu kerajaan ini berdiri di bawah sokongan rakyat. Saya yakin dan percaya, kalau kita perkenal GST...kita akan memberi manfaat lebih besar kepada rakyat dan negara," katanya pada Majlis Penerangan Perdana GST di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

GST akan dilaksanakan pada 1 April tahun depan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Najib berkata, kerajaan menyedari kenaikan harga barang yang terpaksa ditanggung rakyat dan GST dijamin tidak akan membebankan.

Tambahnya, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun depan juga akan dinaikkan sebanyak RM300 bagi mengurangkan beban itu.

"GST bukan untuk bebankan rakyat dan banyak barangan tidak dikenakan cukai itu.

"Jadi kita sudah mengambil kira beban rakyat untuk melaksanakan GST," katanya.

Tambahan RM300 kepada penerima BR1M bagi menampung kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dijangka sebanyak 1.8 peratus akibat pelaksanaan GST. 

Jumlah bantuan itu akan membabitkan tambahan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion, di mana ia diserap daripada hasil kutipan GST tahun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain