PETALING JAYA: Pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) nampaknya mengambil pendekatan 'kunci mulut' setelah membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Selasa. Tindakan itu dapat dilihat dengan jelas apabila pemimpin-pemimpin yang hadir ke mesyuarat mingguan parti malam Selasa enggan memberikan sebarang komen mengenai isu tersebut. Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah yang menjadi pemimpin yang paling awal meninggalkan Ibu Pejabat PKR di sini berkata, mesyuarat pada malam Selasa hanya membincangkan 'perkara biasa'. "Bincang isu Pengkalan Kubor...tentang calon menteri besar Selangor pun ada juga," jawabnya ringkas sambil meninggalkan pemberita. Ditanya sama ada mesyuarat tersebut membincangkan mengenai kemungkinan nama calon baharu akan dihantar kepada istana, beliau menjawab: "Surat merafak sembah, memohon maaf kepada Sultan Selangor telah dihantar." Sementara itu, timbalannya Mohamed Azmin Ali yang ditemui selepas itu berkata tiada sebarang pengumuman pada malam Selasa. "Mesyuarat mingguan biro politik biasa...tiada pengumuman," katanya. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tidak memberikan sebarang komen lanjut mengenai kenyataan PKR yang memohon maaf kepada Sultan Selangor dan tindakan seterusnya yang akan diambil oleh parti bagi menyelesaikan permasalahan dengan istana.