VIENTIANE: Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai tindakan sengaja untuk mensabotaj dirinya dan Kementerian Pendidikan. Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak akan membuat sebarang andaian berhubung siapa yang melakukannya tetapi meminta polis menyiasat sehingga ke akar umbi untuk membawa pelakunya ke muka pengadilan. Beliau yang begitu marah atas insiden itu, berkata beliau memandang serius kejadian itu kerana semua pihak pihak sebelum ini telah dingatkan supaya sentiasa mematuhi segala peraturan dan prosedur penyediaan dan pengendalian kertas soalan bagi mengelak kejadian seumpama itu. "Kita harap pihak polis mengambil tindakan tegas dan seterusnya satu hukuman seberat-beratnya (diambil terhadap pelaku)," katanya pada sidang media untuk menjelaskan perkembangan terbaru mengenai perkara itu. Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berada di ibu negara Laos ini untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Asean Kelapan (ASED ke-8) yang bermula, Khamis. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebocoran terbaru melibatkan kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 selepas kebocoran kertas Sains 018, 028 dan 038 yang dimaklumkan semalam. Kertas-kertas peperiksaan berkenaan akan diadakan semula pada 30 September ini. Dalam pada itu, Muhyiddin berkata satu jawatankuasa bebas akan dilantik dalam masa terdekat melibatkan pegawai berpengalaman dalam menguruskan peperiksaan umum bagi memastikan integriti dan kerahsiaan peperiksaan tidak lagi dikompromi.