suria

Pengkhianat Bocor Kertas UPSR Kena Dihukum Maksimum - Idris Jusoh

Idris dan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Nai'mah Ishak (kanan) menunjukkan karung yang digunakan untuk mengisi kertas soalan UPSR pada sidang media di Kementerian Pendidikan pada Jumaat.
PUTRAJAYA: Pengkhianat yang bertindak membocorkan beberapa kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dikenakan hukuman penalti semaksimum mungkin, kata Menteri Pendidikan ll, Datuk Seri Idris Jusoh.


Beliau yang menyuarakan rasa dukacitanya berhubung kejadian itu berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana pihak terbabit telah mengkhianati rahsia negara dan mementingkan diri sendiri sehingga menyusahkan 437,175 calon UPSR dan hampir sejuta ibu bapa di seluruh negara.

Tambahnya, individu yang terlibat dalam kejadian ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan ikhlas, malah tiada integriti.

"Kita perlu cari pengkhianat-pengkhianat yang telah merosakkan dan membocorkan soalan kertas peperiksaan ini dan perlu ditangkap dan dikenakan penalti semaksimum mungkin.

"Saya pasti kita akan mendapat kerjasama daripada polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia)," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Kertas soalan UPSR Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 serta Sains 018, 028 dan 038 didapati berlaku kebocoran.

Lembaga Peperiksaan Malaysia pada Khamis mengumumkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kertas berkenaan.

Ditanya adakah dalang melibatkan pihak dalaman, Idris enggan mengulas lanjut kerana ia masih dalam siasatan polis dan SKMM.

"Kita tak boleh kata apa-apa sehingga siasatan tamat kerana sekarang masih dalam siasatan dan kita dengarlah apakah hasil siasatan yang dibuat oleh PDRM dan SKMM nanti.

"Kita tahu mereka telah mengesan pengkhianat-pengkhianat yang kita harap akan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin," katanya. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Nafi Setuju Laksana GST

Artikel Lain