NIBONG TEBAL: Seorang lelaki disyaki anggota kongsi gelap Geng Pneh ditahan dan polis merampas sepucuk pistol bersama 44 butir peluru di sini. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, lelaki berusia 27 tahun dan bertatu corak naga dan ikan pada badannya itu ditahan pada pukul 10 malam Selasa selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan. "Anggota polis yang membuat rondaan di hadapan sebuah pasar raya di Nibong Tebal terserempak dengan lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan kami percaya dia anggota kongsi gelap berdasarkan tatu di bahu kanan dan dada kirinya. "Susulan penahanan itu, lelaki terbabit membawa polis ke sebuah bengkel membaiki kereta milik bapa saudaranya di Jalan Besar Air Lintas, tidak jauh daripada pasar raya itu dan hasil pemeriksaan kami menemui sepucuk pistol bersama 41 butir peluru .9mm dan tiga butir peluru jenis .45 auto," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis. Beliau berkata, polis turut menahan bapa saudara lelaki itu berusia 53 tahun bagi membantu siasatan dan dia dibebaskan dengan jaminan polis apabila didapati tidak mengetahui kegiatan anak saudaranya itu. "Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti bagaimana dia memperoleh pistol dan kenapa senjata api itu berada dalam simpanannya," katanya sambil memberitahu bahawa lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah.