TUMPAT: Calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail tidak gentar bersaing dalam pertandingan tiga penjuru bagi memastikan BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada pilihan raya kecil 25 September ini. Katanya, jumlah calon bukanlah faktor utama malah pada pilihan raya umum yang lepas calon BN juga memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru. Beliau berkata, pendekatan berkempen beliau adalah bertemu secara terus dengan rakyat bagi mengetahui sendiri keperluan dan masalah mereka yang harus diselesaikan. "Pendekatan bertemu sendiri dengan rakyat amat penting kerana itu akan jadi punca kemenangan BN dan saya berdoa supaya kemenangan dapat diperoleh," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK tersebut di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini, Sabtu. Mat Razi, 48, bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat dan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Tumpat, berazam untuk meneruskan perjuangan penyandang Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, membawa kecemerlangan BN dan membawa kemajuan di DUN berkenaan. Sementara itu, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, mengakui kelemahan dirinya yang tidak berkelulusan tinggi tetapi menganggap ia bukanlah penghalang bagi seseorang itu untuk memenangi pilihan raya. Beliau yang juga Setiausaha PAS kawasan Tumpat berkata, fokus utamanya adalah untuk tidak mengecewakan kepercayaan yang diberikan oleh partinya untuk bertanding pada PRK itu. "Walau apa pun saya bersyukur kerana dipilih sebagai calon untuk mewakili PAS bagi mengembalikan kerusi DUN Pengkalan Kubor ini kepada kami," katanya. Katanya, beliau akan mendekati rakyat di semua peringkat dan melakukan yang terbaik. Bagi calon Bebas yang menggunakan lambang pen, Izat Bukhary Ismail Bukhary berkata beliau memilih untuk bertanding pada PRK ini kerana ingin memberi sumbangan kepada penduduk di kawasan itu. Izat Bukhary, 47, berkata walaupun pernah kalah pada pilihan raya umum tahun lepas di kawasan yang sama, beliau ingin membuktikan kesungguhannya membela nasib masyarakat setempat. "Saya datang (bertanding) lagi sekali bukan kerana apa (tapi) saya nak bagi sumbangan. InsyaAllah saya yakin undian bertambah...pada pilihan raya umum dahulu hanya dapat 65 undi sahaja. Itulah penyokong awal saya dan InsyaAllah mungkin kali ini (undian) bertambah," katanya. Anak kelahiran Lorong Tok Semiang yang kini menetap di Kubang Kerian, Kota Baharu itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Hiasan Dalaman daripada Manchester Polytechnic, United Kingdom. Bapa kepada tujuh anak berusia antara 17 dan lapan tahun itu adalah bekas pensyarah jurusan seni bina di politeknik dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Pada pilihan raya umum lepas, beliau hilang wang pertaruhan apabila hanya memperoleh 65 undi pada pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Noor Zahidi Omar (Allahyarham) dan calon PKR, Saharun Ibrahim. Noor Zahidi menang dengan majoriti 1,736 undi. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Noor Zahidi, 57, akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.