Beliau berkata polis bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam melakukan siasatan terperinci terhadap kebocoran dua kertas peperiksaan UPSR itu dan kertas siasatan kes itu juga telah dibuka.
"Banyak lagi maklumat akan diperoleh polis terutamanya mengenai kaedah dari segi pengedaran kertas soalan bukan saja UPSR, tetapi peperiksaan yang lain.
"Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah memberikan banyak maklumat dalam usaha membantu siasatan yang dilakukan.
Dalam pada itu, polis menahan empat guru dalam serbuan di Pulau Pinang dan Parit Buntar, Perak pada Ahad berhubung kes kebocoran soalan peperiksaan itu.
Mengulas mengenai perkembangan kes pertubuhan yang tidak berdaftar, Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, Ahmad Zahid berkata polis akan menyerahkan senarai bersih pegawai dan anggota pasukan itu selepas saringan terhadap hampir 10,000 anggota selesai.
Beliau berkata anggota PPS yang mempunyai rekod jenayah akan dikenakan tindakan undang-undang.
Ditanya sama ada pihaknya meminta kerajaan negeri Pulau Pinang mendaftar pasukan itu dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), Ahmad Zahid berkata: "Kami sedang berbincang dengan kerajaan negeri cara terbaik untuk menyerap orang-orang ini dalam pertubuhan sah".
Pada 31 Ogos lepas, polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusinya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas PPS didapati tidak berdaftar dengan ROS.