IPOH: Sepasang suami isteri nyaris maut dalam kebakaran yang memusnahkan enam buah pelantar ikan milik nelayan-nelayan tempatan di Jalan Kunchong dekat Pantai Remis, awal pagi Ahad. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis Amir Ahmad berkata enam buah pelantar yang berkeluasan 12x21 meter sebuah itu, musnah terbakar lebih 90 peratus. "Laporan mengenai kejadian yang diterima pada pukul 2.25 pagi itu dapat menyelamatkan Low Kuan Choo, 59, dan isterinya Lai Swee How, 58, yang sedang tidur di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini. Beliau berkata, operasi yang tamat pada pukul 6.20 pagi itu melibatkan seramai 31 anggota dari BBP Pantai Remis, BBP Manjung, BBP Setiawan, dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Changkat Keruing serta PBS Bagan Panchor. Punca dan kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan, katanya.