KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS)yang menuju ke Hyderabad dari Kuala Lumpur malam tadi, terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang KL di Sepang (KLIA) berikutan kegagalan kawalan pandu auto. MAS dalam kenyataannya pada Ahad menyatakan pesawat MH198 berlepas dari KLIApada 10.20 malam Sabtu dan berpatah balik sebelum mendarat di lapangan terbangitu pada 2.01 pagi tadi. "Dakwaan yang mengatakan pesawat itu terbakar, seperti yang tersebar dimedia sosial, adalah tidak benar," kata MAS. Menurutnya kegagalan kawalan pandu auto itu tidak memberi kesan kepada keselamatan penumpang namun, sebagai langkah keselamatan, kapten yang mengendalikan pesawat itu memutuskan supaya pesawat itu berpatah balik ke KLIA. Berikutan itu, penerbangan MH198 telah dijadual semula sebagai penerbangan MH198D dan akan berlepas dari Kuala Lumpur pada tengah Ahad dan dijadual tiba di Hyderabad pada 1.35 petang (waktu tempatan) hari ini. "Malaysia Airlines kesal dengan gangguan jadual perjalanan tetamunya," jelas kenyataan itu. Ia menegaskan bahawa keselamatan para penumpangnya tetap menjadi keutamaan syarikat penerbangan itu. MAS berkata ia amat menghargai kerjasama orang ramai dengan tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelak keresahan dalam kalangan penumpang.