KUALA LUMPUR: Kedutaan Indonesia pada Isnin menafikan Ketua Polis republik itu Jeneral Sutarman ada mengeluarkan kenyataan yang mendakwa kononnya polis Indonesia dan Malaysia mengetahui punca kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu. Atase Polis, Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, Aby Nursetyanto berkata laporan berita Indonesia dikeluarkan melalui Tempo.co dua hari lepas merupakan kesimpulan yang dibuat sendiri oleh media berkenaan. "Penulis (berita) itu akan dipanggil Kapolri (Ketua Polis Republik Indonesia) untuk memberi penjelasan sekiranya perlu dan sekiranya ia gagal menunjukkan sebarang bukti, tindakan akan diambil," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Isnin. Laporan berita Indonesia, Tempo.co, dua hari lepas memetik Jeneral Sutarman sebagai mendakwa kononnya pihaknya dan Polis Malaysia mengetahui punca pesawat itu hilang tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya. Susulan laporan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan media Indonesia itu bahawa pihaknya mempunyai pengetahuan mengenai punca sebenar kehilangan pesawat berkenaan, yang masih menjadi misteri. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau tidak mempunyai maklumat tersebut dan terkejut dengan laporan media itu. Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal. Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun pencarian besar-besaran telah dilakukan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai berakhir. Usaha mencari pesawat MH370 masih diteruskan.