suria

Khairy Yakin 45 Peratus Pengundi Muda Tidak Akan Tolak BN

Khairy (kanan) menyerahkan baju kemeja kepada wakil Pemuda ketika melawat Pusat Daerah Mengundi di Pengkalan Kubor. - NORAFIFI EHSAN/The Star
TUMPAT: Pemuda Umno yakin seramai 45 peratus pengundi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor tidak akan mensia-siakan peluang untuk terus memilih Barisan Nasional pada PRK itu, 25 September ini. 

Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ini kerana pengundi muda itu mengetahui dengan jelas apa yang telah dilakukan BN pada masa Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar menjadi wakil rakyat DUN itu sejak tiga penggal lalu. 

"Alhamdulillah saya lihat semua pengundi muda ini mengenali calon BN, (Mat Razi Mat Ail) yang mampu membawa kesinambungan Allahyarham dan mengambil berat masalah mereka. 

"Mereka tahu jasa Allahyarham semasa menjadi wakil rakyat telah banyak membuat perubahan dan jika bukan jasanya tidak ada apa-apa sebenarnya di Pengkalan Kubor," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi Pengkalan Kubor di sini, Isnin.

Turut hadir pada program itu adalah calon BN Mat Razi yang mesra dipanggil ustaz. 

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata kewibawaan calon BN yang dilihat bukan sahaja mampu membawa pembangunan fizikal tetapi juga mampu membawa golongan muda itu membentuk sahsiah yang baik berdasarkan kepada perwatakan ilmu agama yang ada pada Mat Razi.

Katanya dalam beberapa sesi pertemuan dengan golongan itu, mereka mahukan pembangunan yang lebih menyeluruh bagi masa depan mereka termasuk peluang ekonomi yang boleh disertai mereka. 

Menurutnya hasrat golongan itu yang mahukan lebih banyak gelanggang futsal umpamanya akan diberi perhatian asalkan ada tapaknya. 

"Masalah utama adalah tanah kerana ini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Apa pun kita jamin untuk bina juga gelanggan itu," katanya. 

Beliau turut mengingatkan jentera Pemuda supaya berkerja dengan berkesan kerana mereka bakal berdepan saingan yang sengit dengan parti lawan yang akan melakukan apa sahaja untuk merampas DUN berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain