Pelbagai acara sudah ditampilkan di sini sejak beberapa hari lepas sebagai 'kiraan detik' ketibaan sambutan Hari Malaysia malam ini, bagi memeriahkan sambutan ulang tahun pembentukan Malaysia itu.
Tanggal 16 September menjadi tarikh keramat yang menyaksikan seluruh rakyat menghayati pembentukan Malaysia menerusi kata sepakat yang dicapai antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak (juga Singapura ketika itu) pada tahun 1963.
Sambutan Hari Malaysia pada 16 September diisytihar sebagai hari cuti awam di seluruh negara mulai tahun 2010 ekoran pengumuman Najib pada Oktober tahun sebelumnya.
Selain persembahan kebudayaan, acara hiburan pentas, puisi, persembahan koir dan sebagainya, sambutan malam ini akan turut dihangatkan dengan pertunjukan bunga api berirama selama 10 minit menerangi ruang udara bandaraya Miri.
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan selaku menteri bertanggungjawab terhadap majlis sambutan itu berkata, orang ramai yang hadir pada sambutan malam Selasa juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi acara cabutan bertuah.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, beliau berkata pelbagai hadiah bernilai lebih RM20,000 disediakan bagi acara itu, antaranya motosikal, televisyen LED pelbagai saiz, iPad dan banyak lagi.