IPOH: Seorang ibu memohon pertolongan dari Wisma Putra untuk membawa balik anak tunggalnya yang diculik oleh bekas suami, Mohammad Talib Abdur Rauf. Zarena Bibi Omar Din,37, seorang kerani di sebuah agensi awam berkata, dia berada dalam keadaan tertekan memikirkan nasib anak lelakinya, Ziad Mohammad Talib,9, yang dilarikan Mohammad Talib,55, berasal dari Pakistan. "Saya tidak bertemu Ziad sejak lapan bulan yang lalu dipercayai kini berada di Pakistan," jelasnya kepada media di Pusat Khidmat Dan Aduan Barisan Nasional pada Isnin. Zarena berkata, pada 31 Januari, dia dan anaknya telah dipaksa oleh suaminya yang juga warganegara Amerika Syarikat pergi ke Mansehra, Pakistan dan dijadualkan balik pada 3 Februari. Bagaimana pun, apabila mereka tiba di rumah keluarga Mohammad Talib pada 2 Februari, lelaki itu memberitahu tujuannya adalah untuk melarikan mereka dan mengugut untuk membunuhnya. "Dia mengugut untuk membunuh saya jika enggan menyerahkan rumah di Sunway City, kereta Kembara dan wang tebusan RM18,000. "Saya juga dipisahkan dengan anak saya, dikurung sebulan lebih dan dilarang menghubungi keluarga saya," jelasnya. Zarena Bibi juga mendakwa dia diserang dan dipaksa untuk menandatangani dua perjanjian dalam bahasa Inggeris dan Urdu dan diugut tidak akan dihantar pulang ke Malaysia serta akan mati di Pakistan. "Saya menerima panggilan daripada suami pada 8 Mac memberitahu bahawa saya akan dihantar pulang dengan syarat menyerahkan rumah, kereta dan duit. "Dua hari kemudian, saya diberi tiket penerbangan untuk pulang tetapi anak saya masih berada bersama keluarga suami di sana," tambahnya.