SHAH ALAM: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor merampas pelbagai barangan tiruan bernilai kira-kira RM245,000 dalam dua serbuan berasingan di sebuah pusat pemborong di Klang. Ketua Penguatkuasanya, Othman Nawang dalam kenyataanya pada Selasa berkata, serbuan pertama dilakukan pada Khamis lepas melibatkan empat premis dan 1,900 buah beg dari jenama terkenal antarabangsa antaranya Prada dan Gucci yang disyaki tiruan bernilai RM225,000 dirampas. "Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap unit barangan atau tiga tahun penjara," katanya. Othman berkata, bertindak di atas aduan pelanggaran hak cipta barangan jenama Walt Disney, pihaknya menjalankan serbuan kedua di pusat pemborong yang sama pada Sabtu. "Dalam serbuan itu kami memeriksa empat premis dan menyita 2,500 unit pelbagai barangan dari jenama berkenaan antaranya alat tulis, barangan mainan dan cenderahati bernilai RM20,000, katanya. Othman berkata, semua barangan berkenaan disita di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM2,000 bagi setiap barangan atau lima tahun penjara.