suria

Anarki Sosial: Perkara Terpencil Yang Kini Menjadi Normal

DEMOKRASI bukanlah sistem yang mudah untuk mentadbir sesebuah negara. Seringkali demokrasi gagal memberikan kestabilan, apatah lagi kemakmuran.

Ia menjadi begitu kerana demokrasi seringkali menyebabkan perubahan di dalam pentadbiran kerana setiap pertukaran tampuk pemerintahan akan memperkenalkan dasar dan polisi baru untuk mentadbir kerajaan.

Dalam erti kata lain, demokrasi mengganggu urusan di dalam setiap lapisan kerajaan. Tetapi sungguhpun begitu, demokrasi telah membawa kemakmuran dan kestabilan kepada Malaysia selama lebih 56 tahun.

Tidak begitu lama dahulu, kerajaan yang dipilih secara sah melalui pilihan raya dihormati oleh rakyat. Menjadi Yang Berhormat dan menteri adalah perkara yang dianggap mulia di kalangan masyarakat. Setiap dasar yang dibuat oleh kabinet juga dilaksanakan tanpa banyak gangguan dan pertikaian.

Tidak dinafikan, ada juga tentangan tetapi selalunya gangguan daripada pihak-pihak tertentu ini tidak menghakis kredibiliti kerajaan dan institusi kerajaan.

Mahkamah juga diangkat martabatnya dengan dilihat sebagai badan yang bebas daripada kritikan. Hakim boleh menjatuhkan hukuman tanpa berasa risau dituduh sebagi 'dibeli' dan ditekan oleh sesetengah pihak.

Pihak berkuasa seperti polis turut bebas melaksanakan tugasan mereka dalam menjaga keselamatan negara tanpa perlu berasa takut dianggap menyalahgunakan kuasa oleh NGO hak asasi dan ahli politik.

Pihak berkuasa agama bagi persekutuan dan negeri tidak pula menghadapi masalah untuk memelihara kesucian Islam tanpa dijadikan bahan perlian dan momokan sesesiapa. Hakikatnya setiap lapisan masyarakat bersetuju untuk tidak mencampuri urusan bangsa dan agama sesama sendiri.

Tetapi hari ini segalanya sudah berubah. Kerajaan yang dua kali berturut-turut hilang majoriti 2/3 telah dilihat sebagai kerajaan yang lemah.

Kerajaan menjadi tidak efektif dan ‘flip-flop’ kerana wujudnya suara pembangkang yang semakin kuat dan berani. Cakap sahaja 'kerajaan 48%' sudah cukup untuk menjatuhkan keyakinan serta moral wakil rakyat BN.

Sungguhpun begitu, ini tidak bermakna kerajaan perlu menari mengikut rentak pembangkang. Apabila pembangkang mahukan ISA dihapuskan kerana kononnya ia bertentangan dengan hak asasi manusia, kerajaan telah mendengar hasrat mereka.

Tetapi hairannya, bukan sahaja pembangkang tidak berterima kasih, malahan selepas itu mereka mengkritik kerajaan kerana masalah keselamatan yang kian parah di Malaysia. Hari ini pembangkang mahukan Akta Hasutan dimansuhkan pula. Sudah nampak tanda-tanda kerajaan sekali lagi akan menuruti permintaan ini.

Sebelum ini ada sahaja kenyataan yang akan dimomok-momokkan. Kenyataan kangkung menjadi popular dan masyarakat tanpa segan silu menjadikannya sebagai bahan jenaka sehinggakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang membuat parodi makan kangkung di jalan raya.

Persoalan timbul, mengapa kita perlukan kerajaan yang kuat? Ini kerana di sesebuah negara berbilang bangsa dan agama, kita perlukan keberanian kerajaan dan pihak berkuasa yang boleh mengambil tindakan dengan tegas dan tetap terhadap ejen provokasi serta pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya, kegagalan kerana menjadi entiti yang lemah dan tidak lagi dihormati akan menyebabkan masalah serta hubungan di antara kaum semakin meruncing.

Apa yang kita anggap sebagai perkara terpencil kini sudah menjadi perkara normal di dalam masyarakat. Kerajaan tidak berkuasa untuk menghentikan perkara ini kerana apa sahaja yang mereka lakukan akan ditentang dan dimomok.

Tekanan akan diberikan bukan sahaja daripada pembangkang malahan daripada NGO dan rakyat. Apa yang kita lihat hari ini adalah budaya 'mob-rule'.

Lihat sahajalah jumlah demonstrasi yang berlaku tidak kira daripada pembangkang mahupun penyokong kerajaan.

Polis tidak mampu berbuat apa-apa. Mereka sekadar mengambil laporan sahaja kerana mereka risau jika mereka melakukan sesuatu nanti mereka akan dilabel sebagai 'ejen' kerajaan yang menyalahguna kuasa. Menurut logik pejuang hak asasi, polis perlu berdiam diri dan bersabar walaupun sesetengah demonstran ini bertindak melampaui batas. Sedikit sebanyak polis juga sudah hilang kredibiliti.

Bukan sahaja polis tetapi badan kehakiman juga sudah tidak dihormati. Dahulunya keputusan mahkamah akan dihormati oleh semua pihak dan sesiapa yang mempersoalkannya akan dihadapkan ke mahkamah.

Hari ini keadaannya sudah berbeza. Ada seorang tokoh agama secara umum telah meminta pengikutnya untuk mengenepikan keputusan mahkamah. Dan masyarakat yang tidak arif berkenaan dengan undang-undang menyokong seruan tersebut untuk memperlekehkan perintah mahkamah. Tidakkah ini satu keadaan yang memperlihatkan anarki sosial.

Ada ahli politik cuba menjadi popular dengan melakonkan video satira. Lebih memalukan apabila video satira tersebut ditayangkan sempena musim perayaan. Seorang lagi ahli politik pula dengan beraninya menulis di status fb memerli Jabatan agama yang melarang orang Islam daripada menyambut Hari Valentine. Tetapi apa yang perlu ditakutkan kerana polis pun tidak akan berbuat apa-apa.

Paling yang tidak boleh diterima apabila seorang bekas pensyarah perlembagaan yang telah kalah dalam pilihan raya dan juga seorang peguam dengan beraninya menolak titah Yang di-Pertuan Agong (Ketua Negara dan Agama) yang mahukan rakyat mengikut lunas undang-undang dengan memberi peringatan bahawa Agong tidak ada kuasa dan hak untuk memberitahu masyarakat apa yang perlu dibuat.

Sudah jelas Malaysia mempunyai kebebasan yang luas berbanding sebelum ini. Tetapi adakah kebebasan ini tidak boleh ada hadnya? Kebebasan yang terlalu ekstrem akan mengakibatkan anarki sosial. Dan anarki akan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Oleh yang demikian, kita memerlukan pihak yang menentukan had kepada kebebasan ini dan mengambil tindakan untuk menghentikannya. Tiada pihak yang lebih layak melakukan perkara ini melainkan kerajaan yang telah dipilih oleh orang ramai.

Akan ada suara yang berkata di kebanyakan negara demokrasi yang lain, mereka juga menikmati kebebasan yang sama dan pada masa yang sama mereka adalah negara maju.

Tetapi mereka silap. Di kebanyakan negara ini, kerajaan yang dipilih telah diganti tanpa sempat untuk membawa perubahan dalam membantu masyarakat mereka. Dan malangnya kerajaan ini pula diganti oleh kerajaan yang baru yang turut tidak berkuasa untuk membaiki kerosakan negara mereka. Mengapa mereka menghabiskan sejumlah wang untuk memilih kerajaan yang tidak berkuasa masih lagi menjadi misteri kepada kita.Hakikatnya kerajaan mereka takut kepada media dan juga kepada rakyatnya sendiri.

Malaysia perlu mempelajari sedikit sebanyak daripada apa yang berlaku di Syria, Ukraine, Thailand dan Venezuela. Sekiranya kita memahami perkara ini, kita akan sedar bahawa keadaan sekarang adalah satu budaya yang tidak sihat kepada negara kita.

Ini bukanlah semata-mata Barisan Nasional telah hilang majoriti 2/3. Sekalipun Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di Malaysia, mereka juga akan menghadapi kesukaran yang sama untuk mentadbir negara kerana tiada lagi rasa hormat kepada kerajaan dan pihak berkuasa.

> Mat Rodi  atau Radzi Tajuddin, 24, adalah seorang graduan dalam bidang senibina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau adalah anak jati Selayang dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana di Manchester School of Architecture. Beliau juga adalah seorang penulis bebas dan kolumnis mStar.

Barisan Nasional, Pakatan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain