KUALA LUMPUR: Seorang kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Rabu atas pertuduhan menolong menyembunyikan wang curi berjumlah RM53,362.10, bulan lepas. Patrick Parthiban, 26, dituduh melakukan kesalahan itu di dalam lif Pasaraya Haniffa, Wisma Haniffa Jalan Masjid India dekat sini pada 8.30 malam, 30 Ogos lepas. Dia yang tidak diwakili peguam dituduh mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Majistret Nur Azura Murah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh dikehendaki melaporkan diri ke balai polis terdekat setiap hari Isnin sehingga kes selesai. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi. Sementara itu, di mahkamah sama, Nur Azura mengenakan hukuman denda masing-masing RM2,500 terhadap dua rakan setelah mereka mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dua laras senapang buatan sendiri, Julai lepas. Penghantar surat Razak Baharuddin, 40, dan bekas pekerja pembinaan Shahrudin Kanli, 34, dituduh bersama-sama melakukan kesalahan itu di No 9-2 Jalan 2.114a, Jalan Kuchai Lama, Taman Indrahana, 12.30 tengah malam, 5 Julai lepas dan didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960. Ketika rayuan, Peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mohamad yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon supaya anak guamnya tidak dipenjarakan sebaliknya meminta mahkamah mengenakan hukuman denda yang setimpal dengan kesalahan mereka. "Kedua-dua tertuduh menanggung keluarga masing-masing termasuk anak yang masih bersekolah," katanya. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran.