TUMPAT: "Pulang dan tolong cikgu, bila lagi nak tolong cikgu," kata Mat Razi Mat Ail, calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor kepada bekas pelajarnya. Mat Razi, 48, bekas guru di Sekolah Menengah Geting, di sini, mahu bekas pelajarnya yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK itu 25 Sept ini serta menyokong perjuangan beliau dalam BN. "Saya seru kepada bekas anak murid supaya pulang dari perantauan dan tolong cikgu pada hari pengundian. "Walaupun tak suka atau ada salah faham masa cikgu mengajar dulu, saya mohon maaf dan harap bekas pelajar tak kira yang berada di luar Kelantan atau di daerah lain untuk pulang mengundi," katanya dalam sidang media di Pusat Media BN di sini, Rabu. Selain itu, Mat Razi berkata tindakan parti pembangkang menyerang peribadinya dengan mempertikaikan gelaran ustaz adalah sebagai perkara biasa. "Selain dari mempersoalkan gelaran itu, belum ada serangan peribadi lain ditimbulkan pihak pembangkang dan setakat ini penerimaan orang ramai terhadap saya juga semakin baik," katanya. Ditanya mengenai petua untuk kekal cergas dan bertenaga sepanjang kempen PRK ini, Mat Razi berkata amalan yang sentiasa dilakukannya pada setiap pagi adalah minum air zam-zam bersama-sama madu dan cuka kurma. "Itu amalan setiap awal pagi iaitu selepas subuh dan sebelum tidur untuk kekal cergas. Selain itu, saya juga suka makan bawang putih setiap kali makan nasi untuk kekuatan tubuh badan," katanya. Beliau turut menasihati wartawan beragama Islam untuk mengamalkan solat sunat dhuha setiap hari kerana ia merupakan punca rezeki. "Kerja, kerja juga tapi jangan tinggal solat sunat dhuha, percaya lah ada hikmah kerana ia punca rezeki," katanya. Pilihan raya kecil ini membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu. Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.