suria

Dewan Ulama PAS Mahu Khalid Kekal MB Selangor

KULAIJAYA: Dewan Ulama PAS Pusat menegaskan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu dikekalkan sebagai menteri besar Selangor.

Pemangku Ketuanya, Datuk Ahmad Yakub berkata, petukaran jawatan menteri besar Selangor adalah tidak perlu sehingga Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan wujud pelanggaran amanah oleh Abdul Khalid sepanjang pentadbirannya.

Pendirian tegas itu sekaligus menunjukkan sokongan konsisten sayap PAS tersebut terhadap Abdul Khalid sejak isu pertukaran menteri besar dicetuskan PKR menerusi rancangan 'Langkah Kajang'.

"Dewan Ulama PAS mempertegaskan bahawa pertukaran menteri besar Selangor adalah tidak perlu dan menteri besar sedia ada perlu kekal pada jawatannya.

"Ini kerana, Islam menekankan beban pembuktian setiap kesalahan ke atas si penuduh dan selagi mana tidak dibuktikan, maka yang tertuduh hendaklah dikekalkan sebagai tidak bersalah," katanya seperti dipetik dalam buku ucapan Dasar Ketua Dewan Ulama PAS Pusat yang diedarkan kepada perwakilan di sini.

Bagaimanapun Ahmad tidak membaca petikan bahagian ucapannya itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-53 pada Rabu.

Menjelaskan lanjut, menteri besar Kelantan itu juga membidas tindakan wakil rakyat PKR mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi menggulingkan Abdul Khalid sebagai menteri besar.

"Dewan Ulama PAS tidak mempersetujui perletakan jawatan Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kajang sewenang-wenangnya kerana Islam tidak membenarkan pengkhianatan kepada amanah dan pembaziran harta untuk sesuatu pilihan raya kecil yang tidak perlu dilakukan," katanya.

Tambah Pesuruhjaya PAS Kelantan itu, Dewan Ulama turut menyokong Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu perlantikan menteri besar Selangor.

Sejak isu krisis politik di Selangor timbul, PAS dilihat mengambil jalan bertentangan dengan PKR dan DAP terutama mengenai pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar.

"Dewan Ulama PAS membincangkan daripada perspektif syarak kewajaran seorang wanita untuk memegang amanah pemerintahan dalam aspek kemampuan untuk memerintah.

"Sebarang persetujuan melantik mana-mana pemimpin adalah satu syahadah dan bakal menjadi soal jawab di akhirat kelak. Dalam persolaan ini, Dewan Ulama PAS memuji dan berdiri teguh di belakang  Datuk Ser Abdul Hadi kerana istiqamah mengambil pertimbangan dasar Islam dalam membuat keputusan sungguhpun berdepan dengan desakan dan tekanan pelbagai pihak," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain