suria

RM1 Juta Untuk Pendidikan Anak Kru Kabin MH370, MH17

GENTING HIGHLANDS: Eu Yan Sang dan Kumpulan Genting masing-masing berikrar untuk menyumbang RM500,000 kepada penubuhan Yayasan Pendidikan bagi anak-anak kru kabin Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dan MH17.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang dilantik sebagai penaung yayasan itu, memuji Eu Yan Sang kerana menubuhkan yayasan berkenaan dan melaksanakan usaha amal lain hingga dapat menambah baik kehidupan golongan tidak bernasib baik di Malaysia.

"Hati saya tersentuh apabila mengenangkan keluarga (MH370 dan MH17) yang yang terlibat. Kehilangan yang mereka alami adalah amat besar dan tiada kata-kata dapat menenteramkan mereka.

"Kita tidak boleh bayangkan kesengsaraan yang mereka lalui apatah lagi untuk memahami kesedihan mereka. Apa yang kita boleh lakukan ialah meneruskan usaha bagi memastikan setiap keluarga mendapat perhatian selain berdoa bagi mereka yang telah pergi tanpa mengira latar belakang agama atau kaum," katanya dalam ucapannya pada majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-135 Eu Yan Sang di sini.

Dengan negara melalui kesukaran besar baru-baru ini, Hishammuddin berkata, beliau gembira melihat adanya semangat tanggungjawab terhadap masyarakat dalam kalangan industri tempatan yang membantu mereka yang memerlukan. 

"Ia menzahirkan aspirasi kerajaan untuk melihat lebih banyak organisasi swasta dan awam mengambil pendirian kukuh dalam program tangguungjawab sosial korporat mereka yang tertumpu kepada ideologi hormat-menghormati, kasih sayang dan amal.

"Pada masa akan datang, kami berharap untuk melihat lebih banyak entiti mempelopori falsafah ini ketika kita berusaha menjadi sebuah negara yang bukan sahaja berteraskan ekonomi malah bertanggungjawab daripada segi moral," kata beliau.

Pada majlis itu, Eu Yan Sang juga menyumbang RM1.26 juta kepada Yayasan Inisiatif Penyelidikan Kanser dan Pemegang Amanah Berdaftar Yayasan, Joseph William Yee Eu.

Eu Yan Sang, Kumpulan Genting, MH370, MH17

Artikel Lain