KUALA LUMPUR: Rakyat disaran menguasa bahasa Inggeris untuk memperoleh ilmu pengetahuan dengan lebih cepat agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan terkini. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata menguasai bahasa Inggeris adalah penting kerana ia merupakan lingua franca yang digunakan dalam pembangunan terkini terutama dalam bidang sains dan matematik. "Kini segala-galanya berkisar dalam konteks sains kerana semua jurnal mengenai perkembangan sains dan kajian adalah dalam bahasa Inggeris. "Oleh itu sekiranya kita mahu maju dan setanding dengan dunia maju, kitamesti mengusai bahasa Inggeris dan mempunyai pengetahuan lengkap tentang sains dan matematik," katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Malaysia-Afrika 2014 pada Rabu. Beliau turut menekankan tentang kepentingan memahami ilmu kerana iaberkembang secara pesat dan progresif dalam dunia akademik. "Rakyat Malaysia mesti berbangga dengan bahasa sendiri, tetapi pada masa yang sama perlu berusaha menguasai bahasa Inggeris agar mereka tidak ketinggalan dalam arena antarabangsa," kata Dr Mahathir. Persidangan sehari itu yang bertemakan 'Meningkat PenglibatanMalaysia-Afrika: Membentuk Semula Wacana Global Pendidikan dan Pembangunan 'bertujuan menyediakan ruang kepada pertukaran akademik antara ilmuan Malaysia dan Afrika menerusi hubungan dua hala dan kerjasama serantau. Ia dianjurkan Kementerian Pendidikan menerusi Program Kajian Global Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Rangkaian Pembangunan Afrika-Asia dan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta.