suria

2 Jemaah Haji Meninggal Dunia Bukan Kerana MERS-CoV

GURUN: Dua jemaah haji yang meninggal dunia baru-baru ini di Tanah Suci adalah disebabkan masalah jantung dan bukannya kerana penyakit berjangkit lain seperti Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengesahkan punca kematian dua jemaah haji lelaki yang berumur 56 dan 57 tahun itu pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah dan Pra Pelancaran Taman Permai Utama, di sin, Jumaat.

Katanya jemaah pertama yang meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi 9 Sept lepas adalah dari Johor Baharu dan jemaah kedua berasal dari Sepang, Selangor meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang, 16 Sept lalu.

Beliau berkata pihaknya akan memantau tahap kesihatan setiap jemaah haji negara ini bagi memastikan mereka tidak dijangkiti MERS-Cov atau virus Ebola.

"Kita telah buat persiapan dengan baik sebelum jemaah pertama tiba di tanah suci dan akan memberi rawatan terbaik sekiranya mereka mengidap penyakit sepanjang mengerjakan haji," katanya.

Jamil khir berkata Tabung Haji (TH) juga mempunyai pusat rawatan sendiri di Makkak dan Madinah bagi memudahkan jemaah haji negara ini mendapatkan rawatan dengan baik.

"Hanya pesakit Malaysia sahaja yang ada dalam pusat rawatan itu dan kita tidak bercampur dengan pesakit lain," katanya.

Sementara itu, beliau berkata TH turut menyediakan kemudahan telekomunikasi yang baik dan menyediakan kemudahan kad tambah nilai serta cara untuk membuat panggilan antarabangsa.

"Tidak timbul kesukaran untuk mereka buat panggilan keluar kerana kita telah sediakan nombor perayauan pada beg mereka terutama kepada warga emas. Kemudahan teknologi komunikasi yang ada mudah untuk mereka berhubung dengan ahli keluarga," katanya.

Pada majlis penyerahan kunci itu, 64 pembeli rumah teres kos rendah Taman Permai Utama fasa 1B menerima kunci untuk rumah mereka yang bernilai RM68,000.

Jamil Khir yang juga Anggota Parlimen Jerai turut melancarkan Taman Permai fasa 2 yang akan dibangunkan oleh anak syarikat, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) iaitu SPNB Aspirasi Sdn Bhd.


Tabung Haji, Makkah, MERS-CoV

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain