TUMPAT: Barisan Nasional (BN) tidak boleh berdiam diri apabila pihak lawan memainkan isu royalti dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berikutan itu kerajaan BN bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai kekeliruan yang ditimbulkan PAS dan NGO 'R'. "Rakyat dan pengundi perlu mendapat penjelasan yang betul, bukan kita nak jadikan ia isu yang sengaja dimainkan pada pilihan raya. Kalau kita tak sebut mereka (PAS) mainkan juga (isu). "Sebab itu kita tak boleh berdiam diri, kita kena tegas dalam soal ini supaya penduduk khususnya pengundi dapat buat keputusan berdasarkan pertimbangan yang bijaksana," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis bersama tenaga pendidik di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat di sini, Jumaat. Muhyiddin berkata, gerakan NGO 'R' yang ditubuhkan untuk menuntut royalti daripada kerajaan Persekutuan mendapat dokongan daripada PAS dan isu tersebut sentiasa menjadi perjuangan mereka. Katanya, kerajaan akan dianggap sebagai tidak bertanggungjawab sekiranya tidak bertindak balas dan memberikan penjelasan berhubung isu itu. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, rakyat di Kelantan juga mahukan penjelasan sebenar, termasuklah mengenai tuntutan RM12 bilion oleh kerajaan negeri. Dalam hal ini Muhyiddin berkata BN telah pun mencabar PAS supaya menunjukkan bukti berhubung tuntutan tersebut dan bersedia disiasat. Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai hak terhadap royalti hasil pengeluaran minyak kerana ia berada pada jarak tiga batu nautika di luar dari perairan Kelantan. "Kelantan kalau ikut perkiraan hasil, di luar tiga batu nautika bukan menjadi hak negeri dan tidak harus mendapat apa-apa pun tapi atas pertimbangan ihsan kita beri peruntukan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan dan Majlis Agama Islam Kelantan," katanya. PAS sebelum ini meminta supaya BN berhenti memainkan isu royalti dalam kempen pilihan raya di Pengkalan Kubor kerana ia masih berada dalam proses mahkamah.