suria

UPSR Bocor: Dua Lagi Guru Ditahan Di Kedah

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua guru lelaki petang ini berhubung kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris, menjadikan jumlah tangkapan 14 orang setakat ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Gan Kong Meng berkata, kedua-dua guru berusia 48 dan 51 tahun itu ditahan di Bedong, Kedah pada  5 petang Khamis bagi membantu siasatan.

"Setakat ini, 14 orang yang ditahan adalah 12 guru, seorang agen insurans dan seorang jurutera," katanya dalam kenyataan di sini, malam Khamis.

Polis turut merampas gajet komunikasi milik kedua-dua guru itu. Sehingga kini, seramai 22 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), masing masing seorang wartawan, ejen insurans dan jurutera dan 13 guru.

Pada Rabu, seorang guru wanita berumur 26 tahun ditahan di Labis, Johor dan seorang guru lelaki berumur 31 tahun ditahan di Nilai, Negeri Sembilan.

Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid mendudukinya Khamis lepas manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan sebelum pelajar mendudukinya pada hari yang sama. 

Lembaga Peperiksaan Malaysia menetapkan 30 September sebagai tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu.

Gan Kong Meng, UPSR Bocor

Artikel Lain