suria

Hadi Gelar Dua Adun PAS 'Barua' PKR

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbincang dengan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pada sesi ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS kali ke-60 Batu Pahat 1435/2014 di Parit Raja, Batu Pahat pada Sabtu. -Foto BERNAMA.

BATU PAHAT: PAS menyifatkan dua wakil rakyatnya yang bertindak menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon Menteri Besar Selangor sebagai 'barua' Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perbuatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin (Morib) dianggap melanggari baiah atau sumpah taat setia kepada parti.

"Kita tak memandang ringan (tindakan) dua wakil rakyat yang sanggup menyeberang, yang jadi broker...yang jadi barua.

"Tidakkah tiap-tiap wakil rakyat kita berbaiah masa nak jadi calon dulu," katanya tegas ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di sini, Sabtu.

Selain itu Abdul Hadi turut mendakwa sekutunya dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR 'membeli' dua Adun mereka demi mendapatkan sokongan majoriti untuk menjadikan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar.

"Ini pula curi wakil rakyat kita, beli wakil rakyat, inikah etika kita bertahaluf?

"Kita tak boleh pandang ringan. Jangan pandang ringan atau ambil mudah nak bagi (amanah menjadi menteri besar) begitu sahaja. Ada amanahnya," katanya.

Tegas Abdul Hadi lagi, PAS tidak akan berdiam diri dalam soal calon pengganti menteri besar Selangor jika pemilihannya tidak mengikut ajaran Islam.

"PAS tak boleh berdiam diri kalau melantik seseorang (sebagai menteri besar) kerana kecenderungan (pilihan tanpa asas) dan bukan kerana kelayakan.

"Apa lagi kalau bukan kerana amanahnya. Dilantik begitu sahaja. Saya tak bersedia bawa ahli PAS ke neraka jahanam (jika salah pilih)," katanya.

Bagaimanapun Abdul Hadi menegaskan bahawa PAS tidak berminat untuk menduduki kerusi panas itu seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Namun katanya, pemilihan calon untuk memikul tanggungjawab perlu dibuat dengan kaedah yang betul.

"PAS tak berebut jawatan menteri besar. PAS tak pelahap (tamak) nak jawatan menteri besar.

"Walaupun tak ada persefahaman menentukan siapa jadi menteri besar...tak ada perjanjian bertulis. Walaupun PAS ada 15 kerusi, PKR (14) dan DAP (15) serta Perlembagaan Selangor menyebut menteri besar seharusnya Melayu dan Islam, PAS tak tuntut (jawatan menteri besar).

"Tapi ingat...di sana ada hukum syarak, bukan hukum akal sahaja," katanya.


Hadi Awang

Artikel Lain