suria

Nelayan, Petani Tetap Dapat Perhatian Utama Kerajaan - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin.

TUMPAT: Kerajaan senantiasa memberi perhatian terhadap kebajikan nelayan dan petani agar golongan itu dapat keluar daripada kepompong kemiskinan, kata Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha berterusan untuk membantu golongan berkenaan adalah kerana kerajaan sedar dan mengiktiraf peranan nelayan dan petani yang merupakan antara golongan rakyat yang menjana ekonomi negara.

"Kerana mereka inilah yang menghasilkan sumber makanan kepada negara. Sebab itu kerajaan Persekutuan sentiasa membincangkan bagaimana untuk terus membantu mereka.

"Kaum nelayan umpamanya senantiasa kita beri keutamaan seperti subsidi minyak dan pelbagai elaun lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Nelayan sempena Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan di Maktab Rendah Sains Mara di sini, Ahad.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

Lebih 500 nelayan di sekitar daerah ini hadir pada majlis itu.

Muhyiddin berkata, sebagai contohnya dalam tempoh setahun sejak tahun lepas, nelayan kawasan Pengkalan Kubor mendapat subsidi sebanyak RM44.7 juta menerusi subsidi 419,000 liter diesel.

"Elaun Sara Hidup Nelayan kepada lebih 400 nelayan di sini kita telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM1.533 juta sejak tempoh itu," katanya.

Katanya, selain itu melalui projek Azam Tani pula kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM1.25 juta kepada 125 nelayan di sini untuk mempelbagaikan hasil laut seperti membuat keropok dan budu. 

"Sebanyak 265 buah rumah nelayan juga telah dibaiki dengan kos sebanyak RM2.5 juta," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, sewajarnya golongan petani berterima kasih dengan segala bantuan itu dan menolak dakwaan sesetengah pihaknya kononnya bantuan kerajaan itu tidak halal di sisi agama.

Muhyiddin berkata, apa yang dilakukan kerajaan persekutuan itu adalah halal di sisi agama kerana ia merupakan salah satu tuntutan dalam Islam untuk membantu golongan berkenaan.

"Apa yang BN buat ini adalah untuk meningkatkan taraf hidup nelayan dan saya ingin bertanya tuan puan, apa pula yang PAS buat untuk nelayan di sini," katanya.

Beliau berkata, PAS hanya pandai membuat janji sedangkan pada hakikatnya parti itu tidak melakukan apa-apa untuk mereka sedangkan kerajaan Persekutuan melalui BN telah memberikan bantuan tanpa mengira fahaman politik kerana semata-mata mahu melihat nasib golongan itu terbela.

Katanya, kerajaan BN akan memastikan segala kehendak dan keperluan nelayan di Pengkalan Kubor akan dipenuhi sekiranya BN masih kekal menguasai DUN berkenaan pada PRK 25 September ini.

"Kita akan membina jeti-jeti baru jika BN terus berkuasa. Itu janji saya dan BN, kalau 10 perkara kita berjanji kita akan pastikan janji itu sudah semestinya ditepati," kata Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin juga meminta para nelayan tidak terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan PAS terutama isu royalti petroleum yang dicanangkan parti itu pada PRK ini.

Katanya, BN akan memberi penjelasan terperinci isu royalti minyak itu agar nelayan dan seluruh pengundi memahami isu itu dengan tepat dan benar.

Pada PRK itu calon BN, Mat Razi akan ditentang calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.


Artikel Lain