suria

Undi Awal: 96.3 Peratus Keluar Mengundi, 4 Tidak Hadir

TUMPAT: Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor berakhir dengan 96.3 peratus atau 105 daripada 109 anggota polis keluar membuang undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pengkalan Kubor, Mohd Sobri Ramli berkata, proses pengundian yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, pada Ahad berjalan dengan lancar dan terkawal tanpa sebarang gangguan.

"Proses pengundian yang bermula pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 3 petang berjalan lancar dan dari segi peratusan, ia melibatkan 96.3 peratus pengundi," katanya ketika dihubungi mStar Online, Ahad.

Menurut Mohd Sobri, kesemua peti undi akan dibawa ke Balai Polis Chabang Empat dan tidak disimpan di lokap IPD Tumpat kerana kertas undi yang belum digunakan berada di situ.

"Kita bimbang ia bercampur," katanya.

Ditanya tentang ketidakhadiran empat anggota polis untuk menunaikan kewajiban mereka, beliau berkata, difahamkan dua daripada mereka sedang bertugas di luar kawasan iaitu di Bukit Aman dan Miri.

Beliau bagaimanapun tidak mengetahui punca dua anggota lagi tidak hadir membuang undi.

SPR, Polis, Tumpat, Pengkalan Kubor

Artikel Lain