AMPANG: Walaupun spekulasi mengenai pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor bertiup kencang, beliau bagaimanapun memaklumkan belum menerima jemputan rasmi daripada pihak Istana. Azmin yang ditemui wartawan di pekarangan rumahnya pada pagi Isnin enggan memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan kerana tidak menerima menerima jemputan atau dihubungi pihak Istana Selangor. "Saya maklum (mengenai pengumuman dan upacara angkat sumpah) melalui berita yang dibaca tetapi secara peribadi, saya belum menerima jemputan. "Rasanya lebih baik saya tunggu sehingga Istana membuat keputusan," katanya. Ditanya mengenai pemilihannya sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih dengan keputusan sejak Julai lalu untuk hanya mencalonkan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar. "Proses dalam parti seperti itu (keputusan dah dibuat Julai lalu), jadi kita tunggu keputusan pihak Istana," katanya tanpa mengulas lanjut. Selain Azmin, dua lagi calon adalah wakil rakyat PAS, Iskandar Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi Menjelang tengahari Isnin, raptai upacara angkat sumpah menteri besar yang baharu diadakan di Istana Alam Shah, Klang, sebelum upacara sebenar berlangsung pada Selasa selepas pengumuman siapa yang bakal mengisi tempat yang akan dikosongkan Khalid.