Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata ini kerana Sultan Sharafuddin Idris Shah masih belum memberi perkenan untuk pihaknya mengumumkan perkara itu pada Isnin.
"Maaf, Tuanku belum berkenan lagi untuk buat 'statement' (kenyataan) hari ini. Pengumuman dan kenyataan akhbar akan dibuat esok pagi," katanya.
Nama Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamad Azmin Ali, Adun Cempaka Iskandar Abdul Samad dan Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi disebut-sebut sebagai calon bagi mengisi jawatan menteri besar Selangor ke-15 itu.
Mohamad Munir dilaporkan berkata pengumuman akan dibuat sama ada menerusi kenyataan akhbar atau sidang media.
Majlis angkat sumpah menteri besar Selangor yang baharu dijadual diadakan di Istana Alam Shah, Klang, pada 10 pagi Selasa.