Di dalam kenyataannya, MPP memaklumkan bahawa pencalonan Wan Azizah memenuhi kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor kerana mendapat sokongan majoriti 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu.
Oleh itu, MPP berpendapat proses memperkenan pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu itu bukan sahaja tidak mengikut kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor tetapi bertentangan dengan amalan prinsip demokrasi berparlimen.
"MPP amat kesal dengan cara pihak Istana menangani proses pencalonan Wan Azizah sehingga beliau langsung tidak dipanggil menghadap walaupun mendapat sokongan majoriti yang jelas," demikian menurut kenyataan tersebut, malam Isnin.
Menurut kenyataan itu, MPP juga bersetuju dengan cadangan yang Wan Azizah agar Azmin dikemukakan sebagai calon menteri besar dari parti mengikut tuntutan amalan demokrasi.
"Ini selaras dengan pendirian MPP bahawa kemuliaan perlembagaan dan keluhuran undang-undang perlulah dipertahankan sepanjang masa," kata kenyataan itu.
MPP turut menegaskan proses yang tidak menepati kehendak undang-undang ini tidak boleh dijadikan satu duluan (precedent) pada masa hadapan.