suria

Dari Gembala Kambing Ke Kerusi MB

Azmin ketika remaja rajin membantu ayahnya menjaga kambing dan berkebun di kawasan berhampiran rumahnya di Kampung Klang Gate.
PETALING JAYA: “Zaman kanak-kanak,  Azmin ni tak ada ramai kawan, kecuali dengan anak-anak Salleh Ghani yang ada lapan orang lelaki. Kami main baling-baling tin, main getah dan biasanya aku dengan Azmin masuk hutan dekat rumah untuk cari kayu nak dibakar pada malam tujuh likur."

 

Begitulah cerita Adam Salleh, rakan sepermainan yang pernah berjiran dengan keluarga Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali sejak 1970.



Adam yang juga Pengarang Rencana Metro Ahad adalah anak kepada pengarah filem, Allahyarham Salleh Ghani.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, disebabkan perbezaan usianya dengan Azmin hanya setahun dan bersekolah di tempat sama (Sekolah Tinggi Setapak), biasanya Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu akan mencarinya untuk bermain bersama pada kebanyakan masa.

Pada waktu petang pula, kata Adam, Azmin sering meluangkan masa menjaga kambing bapanya berhampiran kawasan estet di Kampung Klang Gate yang kini sudah dibangunkan menjadi Desa Melawati.



“Biasanya Azmin akan berborak dengan aku dan bercerita tentang niatnya mahu belajar tinggi,” katanya.

Adam dan Azmin juga pernah ke Singapura bersama-sama pada 1980.

Kata Adam, mereka mendapat restu ibu Azmin, Che Tom Yahaya (lebih mesra dipanggil Mak Munah) untuk melawat saudaranya di Geylang.

Katanya, Mak Munah memberikan mereka satu bungkusan untuk diserahkan kepada ibu saudara Adam di Singapura, Raja Badar Raja Saat, tetapi mereka tidak tahu apakah isinya.



Apabila tiba di tempat pemeriksaan kastam di Tanjung Pagar, kata Adam, anjing pengesan di situ menyalak ke arah mereka menyebabkan timbul perasaan sedikit cemas.

“Selepas diarahkan buka oleh pegawai kastam, barulah kami tahu isinya cuma karipap!” katanya.

Walaupun dikenali sebagai tokoh yang agak serius, Adam tahu Azmin seorang yang kelakar.

“Ketika di Singapura, kami menaiki bas untuk berjalan-jalan di Changi. Tiba-tiba ada seorang lelaki Inggeris yang cacat penglihatan naik meraba-raba.

“Melihat keadaan itu Azmin ketawa terbahak-bahak. Apabila ditanya mengapa, Azmin menjawab: Aku tak pernah tengok Mat Salleh buta!”

Satu lagi pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang persahabatan mereka ialah setiap Jumaat tentu Azmin dan Adam akan ke masjid lebih awal.

“Dia ajar aku membaca surah Yasin.

“Dari satu minggu ke minggu lain, dia akan menukar halaman al-Quran itu untuk aku baca,” katanya yang turut berbangga dengan pencapaian Azmin dalam politik.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain