Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata timbul kekeliruan berhubung keselamatan penggunaan bahan itu memandangkan kementerian tidak bercadang mengenakan larangan terhadap 'loom band' sedangkan ia diharamkan di United Kingdom.
"Kementerian Kesihatan perlu menjalankan ujian ke atas semua produk 'loom band' di pasaran dan menghebahkan hasil ujian itu kepada orang ramai di samping menarik balik produk itu daripada pasaran tempatan sehingga ia terbukti selamat untuk digunakan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataannya baru-baru ini, menyebut 'loom band' tidak diklasifikasi sebagai alat mainan di Malaysia sebaliknya aksesori hiasan, dan ibu bapa dinasihat tidak memberikan barangan itu kepada kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah.
Mohamed Idris berkata 'loom band' di Malaysia adalah sama seperti yang dijual di negara lain termasuk United Kingdom, selain lambakan produk tiruan dikhuatiri mengandungi bahan kimia berbahaya pada paras lebih tinggi.
Beliau juga berkata pembungkusan kebanyakan 'loom band' di Malaysia bukan dalam bahasa tempatan.
Mohamed Idris berkata produk itu sepatutnya dilabel dengan sempurna dalam bahasa tempatan agar pengguna boleh membuat keputusan yang betul jika ingin membelinya.
Phthalates merupakan bahan kimia yang mempunyai keupayaan mengganggu hormon dan digunakan terutamanya untuk mempertingkat fleksibiliti dan pelbagai ciri lain plastik.