suria

Pinda Perlembagaan Negeri Elak Krisis Pelantikan MB Berulang

Gooi Hsiao Leung.
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali disaran supaya menggunakan kedudukannya untuk melakukan reformasi terhadap Perlembagaan Selangor serta-merta bagi mengelak krisis pelantikan menteri besar berulang. 

Perkara itu diketengahkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Gooi Hsiao Leung.

Ahli Parlimen Alor Setar itu mengaitkan cadangannya itu susulan tindakan istana memilih Azmin dan mengetepikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dikatakan telah mendapat sokongan majoriti 30 daripada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor. 

"Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, saya berasa khuatir bahawa istana tidak mendapat nasihat tepat atas kegunaan kuasa “budi bicara” Perlembagaan dalam pelantikan menteri besar, khususnya apabila salah menasihati Sultan Selangor untuk tidak melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor.

"Penjelasan yang dikemukakan oleh Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Mohamad Munir Bani tentang mengapa Azmin dipilih dan bukannya Wan Azizah langsung tidak kena mengena," katanya dalam satu kenyataan. 

Mengulas dakwaan tersebut Hsiao Leung turut menyifatkan tindakan melantik Azmin dilihat bertentangan prinsip asas seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh kerajaan negeri. 

"Tindakan ini tidak selari dengan pertimbangan dan prinsip asas Perlembagaan negeri iaitu menteri besar yang akan dilantik, mesti mendapat sokongan majoriti dan keyakinan daripada Dewan Undangan Negeri," katanya. 

Justeru, Hsiao Leung menganggap dalam isu berkenaan pihak istana mungkin telah dinasihatkan secara salah. 

Selain itu, beliau turut menggesa Azmin mengkaji semula isu-isu penting yang melibatkan kepentingan rakyat Selangor  seperti perjanjian air, KIDEX dan isu-isu rampasan kitab Bible. 

"Saya berharap Azmin juga akan menjadikan ia salah satu keutamaan untuk melantik jawatankuasa undang-undang negeri untuk mengkaji secara terperinci Perlembagaan negeri sedia ada. 

"Saya juga mencadangkan agar pindaan terhadap Perlembagaan negeri lebih jelas dalam mendefinisikan peranan dan fungsi pemerintahan beraja seperti diamalkan negara kita, terutama dalam proses melantik ketua kerajaan Pusat dan negeri," katanya.
MP Alor Setar, MB Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain