PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)pada Rabu memperoleh perintah Mahkamah Majistret Petaling Jaya melanjutkan tempoh tahanan reman ke atas 15 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia pelbagai pangkat bagi membantu siasatan kes menyeludup keluar barang-barang tanpa membayar cukai eksais. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kesemua mereka termasuk seorang yang berpangkat Datuk akan ditahan selama lima hari lagi bermula Rabu. Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2010. Seramai 13 pegawai Kastam ditahan reman selama tujuh hari mulai 18 September lalu manakala dua lagi ditahan reman selama enam hari mulai 19 September. Kesemua Mereka ditahan dalam satu operasi khas di Lembah Klang dan Ipoh, Perak berusia antara 32 hingga 57 tahun. SPRM diwakili oleh Penolong Pesuruhjaya (PPj) Faizal Sadri. Sehingga hari ini, 11 pegawai Kastam telah didakwa termasuk dua pegawai kanan bergelar Datuk dan seorang Pengarah Kastam Negeri. Kesemua tertuduh berhadapan antara satu hingga 53 pertuduhan membabitkan kesalahan menerima wang suapan antara RM300 hingga RM80,000.