KOTA KINABALU: Tiga anggota pasukan keselamatan ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki merogol seorang wanita warga Filipina berusia 21 tahun di sebuah hotel di bandar Sandakan, pada awal pagi Isnin lepas. Anggota keselamatan dari pelbagai agensi penguatkuasa dan sukarelawan berusia antara 27 hingga 37 tahun itu ditahan awal pagi ini selepas wanita itu membuat laporan di Balai Polis Sandakan, Rabu. Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1 pagi itu, wanita itu mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir oleh ketiga-tiga suspek yang berpakaian seragam selepas dia gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri. Mangsa memberitahu ketiga-tiga anggota pasukan keselamatan itu bahawa dokumen pengenalan dirinya masih dalam proses dan hanya memiliki salinan Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13). Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. "Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.