PENGKALAN KUBOR: Petugas pilihan raya PAS mendakwa telah mengesan kehadiran seorang 'pengundi hantu' yang hadir untuk membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada Khamis. Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) PAS, Noorazmir Zakaria berkata, pihaknya mengesan kehadiran pengundi yang didakwa itu di Unit Peti Undi Bendang Pa' Yong, di sini. "Juham menerima aduan daripada petugas pilihan raya PAS di UPU Bendang Pa'Yong tentang seorang pengundi yang disyaki bukan warganegara Malaysia, namun mempunyai kad pengenalan dan pasport Malaysia. "Peguam-peguam Juham yang bertugas di situ dengan serta-merta menahan untuk menyoal pengundi terbabit serta menyemak kad pengenalan serta pasportnya," katanya dalam satu kenyataan di Facebook Juham, Khamis. Noorazmir mendakwa, pengundi terbabit pada mulanya dikesan diiringi oleh Penghulu Kampung Bendang Pa' Yong. "Namun setelah menyedari kehadiran peguam Juham, penghulu tersebut terus melarikan diri dan meninggalkan pengundi berkenaan," ujarnya. Noorazmir memberitahu, timbul keraguan apabila pengundi tersebut tidak mengetahui nombor kad pengenalan, umur dan alamatnya di Pengkalan Kubor apabila disoal siasat. "Lebih aneh adalah pengundi tersebut juga tidak tahu apakah nama DUN tempat dia mengundi ini dan apakah nama tempat UPU dia mengundi. "Berdasarkan rekod dalam pasport lelaki berkenaan, dia kerap berulang-alik ke Thailand. "Apabila ditanya, dia mengesahkan keluarganya menetap di Thailand dan kali pertama mengundi adalah ketika Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini," katanya. Sementara itu, Noorazmir ketika dihubungi berkata, polis yang berada di UPU tersebut turut membuat pemeriksaan terhadap pengundi berkenaan. "Kita tak pasti dia di bawa ke mana, mungkin ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat. "Kita akan membuat laporan polis pada petang ini," katanya.