suria

Kerajaan Komited Pastikan Ekonomi Rakyat Lebih Baik - PM

Najib Tun Razak.
NEW YORK: Perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan komited dalam memastikan kedudukan ekonomi yang lebih baik untuk rakyat ketika negara beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata gaji rakyat dan pendapatan isi rumah merupakan aspek yang penting apabila negara menjadi ekonomi maju.

"Dalam usaha kerajaan mengenal pasti ekonomi makro negara bagi merealisasikan negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, ekonomi rakyat tidak akan diketepikan," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan penutupan Mesyuarat Tahunan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) keempat di New York Academy of Sciences di Pusat Dagangan Dunia 7 di sini.

Beliau yakin Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi negara berpendapatan tinggi berdasarkan pertumbuhan ekonomi 5.6 peratus tahun lepas dan 6.3 peratus dalam separuh pertama tahun ini, menjadikannya negara Asean terbaik dari segi prestasi ekonomi.

"Namun, kita tidak wajar terlalu bangga dengan angka makro semata-mata. Kita mahu individu turut merasaskan kesannya.

"Kita tidak mahu apabila kita mengumumkan negara sebagai ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020, rakyat berkata mereka tidak merasakan sebarang peningkatan," kata Najib.

Beliau berkata sains dan teknologi serta inovasi akan menjadi sumber utama pertumbuhan negara.

Ini juga akan membezakan pendapatan keluarga dan individu.

Najib yang juga Mentrei Kewangan berkata pembangunan berkekalan bukan hanya sekadar kemampanan kewangan fiskal malah kemampanan fizikal negara.

GSIAC diilhamkan oleh Najib pada 2011 sebagai sebahagian daripda usahanya untuk mentransformasi Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dengan meningkatkan keupayaan Malaysia dalam sains dan inovasi.

Dalam ucapan pada permulaan mesyuarat itu, Najib berkata inisiatif tahap nasional yang dikenali sebagai Sains kepada Tindakan (S2A) bermatlamat meningkatkan penggunaan sains dan teknologi untuk pembangunan industri dan kebajikan rakyat.

Ia juga untuk mentadbir urus sains, teknologi dan industri sejajar dengan Model Baru Ekonomi yang diprekenalkan pada 2010.

"S2A bermatkamat mencergaskan sains supaya ia bersedia dan mampu mencetuskan idea baharu dan menjadi strategi perubahan yang akan mewujudkan pekerjaan dan kekayaan untuk rakyat kita," kata Najib.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain