KLANG: Mohamed Azmin Ali pada Jumaat berkata beliau menerima titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan hati terbuka berhubung krisis jawatan Menteri Besar Selangor. Beliau berkata titah baginda harus dilihat sebagai satu nasihat bagi membolehkan Selangor maju demi kebaikan semua pihak. "Baginda beri nasihat untuk semua Anggota Dewan Undangan Negeri supaya tumpukan kepada kerja serta menjaga keharmonian," katanya kepada pemberita selepas upacara angkat sumpah jawatan 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di depan Sultan Selangor di Istana Alam Shah di sini Jumaat. Sultan Selangor, dalam titah baginda pada istiadat itu, antara lain menyifatkan kemelut dan pergolakan dalam pakatan rakyat di negeri ini bermula dengan 'Langkah Kajang' iaitu usaha mereka untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatan Menteri Besar. Baginda turut menegur PKR kerana meneruskan perbuatan menghina dan mencaci pada bulan Ramadan yang bertujuan menjatuhkan Abdul Khalid. Anggota Exco yang mengangkat sumpah jawatan hari ini, termasuk tiga muka baharu iaitu ADUN Taman Templer Zaidy Abdul Talib (PAS), ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan ADUN Batu Caves Amirudin Shari, kedua-duanya dari PKR. Mereka berbuat demikian tiga hari selepas Mohamed Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di istana sama. Timbalan Presiden PKR itu mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada Abdul Khalid, yang menerajui Selangor mulai tahun 2008. Dalam pada itu, Zaidy berharap mereka dapat memberi komitmen sepenuhnya kepada penduduk Selangor. "Ini satu tanggunjawab besar dan saya akan laksanakan dengan sebaik mungkin," kata Nik Nazmi, yang juga bekas Timbalan Speaker DUN Selangor.