MELAKA: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan melecur di bahagian punggung dipercayai didera pengasuh di sebuah rumah di Bertam Hulu di sini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kejadian itu disedari ibu bayi tersebut, berusia 30-an ketika menukar lampin pakai buangnya sebaik tiba di rumah mereka di kawasan perumahan berhampiran pada 8.30 malam, Selasa lepas. Beliau berkata bayi berkenaan tidak henti menangis ketika diambil dari rumah pengasuh tersebut bersama seorang lagi anak perempuannya berusia 10 tahun, sejam sebelumnya. "Pada mulanya ibu dan bapa bayi tersebut tidak mengesyaki sebarang kejadian menimpa anaknya sehingga ibunya melihat kesan melecur teruk di kedua-dua belah punggung mangsa," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Ahad. Katanya bayi itu kemudian dibawa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka dan masih dirawat di hospital tersebut. Raja Shahrom berkata bapa bayi itu yang berusia 30-an membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak pada Rabu lepas. Katanya polis menahan pengasuh berusia 30 tahun terbabit di rumahnya pada 2.40 petang hari sama bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis keesokan harinya. Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.