KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mendoakan kejayaan para pelajar yang akan menduduki semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi kertas soalan yang bocor, pada Selasa dan 9 Oktober ini. Perdana Menteri menerusi catatan di Twitter, beliau turut memuji kesabaran ibu bapa dan guru dalam menghadapi isu kebocoran soalan peperiksaan itu. "Selamat maju jaya kepada para pelajar yang terlibat dengan UPSR esok. "Terima kasih ibu bapa dan guru-guru atas kesabaran. Moga usaha semua mendapat berkat," kata Najib. Peperiksaan ulangan kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 serta kertas Sains 018, 028 dan 038 dijadual berlangsung pada Selasa. Tarikh baharu bagi ujian Matematik 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036 dan 037 pula ditetapkan pada 9 Oktober. Sebanyak 472,853 murid menduduki UPSR tahun ini di seluruh negara.