PETALING JAYA: Seorang buruh warga asing maut apabila kren yang mengangkut besi perancah terbalik di tapak pembinaan di Genting Highlands, pada petang Isnin. Menurut Twitter Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, sebuah kren yang sedang beroperasi di tapak pembinaan hotel dan taman tema itu sedang mengangkat alatan 'scaffolding' dan terbalik. "Besi 'scaffolding' menimpa pekerja binaan yang maut," tulis CIDB di laman Twitternya. Warga asing yang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan itu dikenali sebagai Shonah Ahmad Zafar. Mangsa yang berada pada kedudukan berhampiran jentera berat itu maut akibat kejadian itu. Ketika kejadian, kren itu dikendalikan warga tempatan yang kompeten dan berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta memiliki kad hijau. "Kontraktor utama, Bluebros sah sebagai kontraktor G7. Sub kontraktor yang terlibat sedang dalam siasatan kerana disyaki tidak berdaftar dengan CIDB." Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof menerusi Twitter berkata, telah mengarahkan siasatan lanjut dijalankan terhadap insiden tersebut. Sementara itu, polis pihak berkuasa ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menerima laporan dan masih menjalankan siasatan kejadian itu.